Friday 27 July 2012

Lagenda Amerika– Caroll Shelby (1923-2012)




Berasal dari seorang pelumba kereta dan kemudian menjadi pengeluar kereta berprestasi tinggi, Caroll Shelby adalah icon dan akan sentiasa dikenang sentuhannya di dalam industri automotif. Caroll Shelby meninggal dunia pada usia 89 tahun pada May 2012, pernah menjuarai beberapa kejohanan termasuklah perlumbaan endurance 24 jam Le Mans. Shelby pernah menghasilkan sebuah jentera hebat iaitu Cobra yang menggunakan enjin Ford pada tahun 1962.  Beliau turut terlibat dalam projek pembikinan Dodge Viper dan Shelby Ford GT40 yang memenangi perlumbaan Le Mans 1966 dan 1967. Ikon Amerika yang berasal dari Texas ini turut melibatkan diri sebagai pereka bentuk kereta dan juga seorang usahawan yang berbakat. 


Perubahan Harga VW POLO GTi



Harga Polo GTI TSI sebelum ini diperkenalkan pada tag harga RM 135,888 versi 5-pintu dan RM 132,888 telah meningkat kepada RM 169,888 dan 166,888. Perbezaan peningkatan harga mencecah kepada RM 34,000. Ini adalah kali kedua pihak Volkswagen telah menaikkan harga pasaran selepas model Passat. Hal ini mungkin sedikit menggugat pembeli berpotensi, akan tetapi menguntungkan kepada pemilik sedia ada Polo GTI dari segi harga penjualan semula kelak.    

DANY BAHAR Bukan Lagi CEO Lotus



Lotus yang berada di bawah payung DRB-Hicom mengalami perubahan pada pucuk pentadbirannya. Tempat Dany Bahar, Chief Executive Officer (CEO) sebelum ini telah digantikan dengan Mohd Aslam Farikullah. Mandat perlantikan baru oleh DRB-Hicom ini berdasarkan pengalaman  beliau sebagai Chief Operation Executive (COO) di Lotus. 

PERODUA ECO CHALLENGE 2012


Perodua Eco Challenge (PEC) kembali lagi untuk tahun 2012 dengan pelbagai senario menarik. Ini adalah kali keempat acara tahunan ini diadakan dan merupakan sebahagian daripada usaha Corporate Sosial Responsibility (CSR) Perodua. Perodua telah memperuntukkan RM1.2 juta setiap tahun untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Korporat PEC yang telah berlangsung di Melaka International Motorsport Circuit (MIMC) pada 13-15 Julai 2012 yang lalu.

Menariknya, semua 13 institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian dalam PEC 2011 kembali berentap pada tahun ini. 13 institusi pangajian tinggi tersebut terdiri daripada Politeknik Ungku Omar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kuala Lumpur - Malaysia Bahasa Sepanyol Institut , Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut mengambil bahagian ialah Politeknik Port Dickson, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

Lebih menarik pada tahun ini, tiada kereta atau enjin yang diberikan tetapi setiap pasukan perlu menambahbaik ke atas kenderaan perlumbaan tahun lepas mereka dengan menggunakan enjin 660 cc dan sistem transmisi. Tahun ini, Perodua menyediakan RM10,000 untuk setiap pasukan untuk mengubah/meminda dan meningkatkan kenderaan lumba masing-masing dan RM5,000 untuk cabaran pemasaran.    
Pertandingan PEC 2012 turut menyaksikan Perodua menambah tiga kategori baru– "Time Attack", Cabaran Pemasaran dan Johan Keseluruhan - selain mengekalkan kategori sedia ada iaitu Reka Bentuk dan Kejuruteraan dan kategori Jarak Terjauh. Turut bersama pada PEC 2012 ialah Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Keputusan rasmi, Politeknik Ungku Omar dapat mengekalkan kejuaraannya pada tahun lepas dengan menggondol kategori Johan Keseluruhan, Johan untuk Reka Bentuk dan Kejuruteraan dan Naib Johan untuk kategori jarak terjauh. Politeknik Ungku Omar telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM43,000. UNISEL  pula, johan bagi kategori Jarak Terjauh, Naib Johan untuk kategori "Time Attack" dan tempat ketiga untuk cabaran Pemasaran. Kategori lain, Johan bagi cabaran Pemasaran dimenangi oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sementara juara "Time Attack' milik UTM. 






THE NEW HONDA FUTURE 125cc



HONDA FUTURE 125cc

Boon Siew Honda Sdn Bhd telah melancarkan model terbarunya, Honda Future, jentera cruiser jarak jauh pertama di pasaran Malaysia baru-baru ini. Pelancaran model telah disempurnakan oleh En. Satoshi Okada, Pengarah Urusan  dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn Bhd di Palace of Golden Horses, Bandar Sunway, Selangor. Saban tahun, pasaran motosikal di Malaysia semakin meluas. Model terbaru Honda ini menggabungkan ciri-ciri yang diperlukan dalam pasaran di Malaysia. Ciri-ciri gabungan tersebut ialah kecekapan bahan api dan mesra alam, estetika, lebih praktikal, penunggangan yang lebih selamat dan memberikan keselesaan di dalam satu pakej, di mana ia sesuai  untuk semua peringkat umur dan keadaan jalan raya. Oleh yang demikian, Honda Future mampu merapatkan jurang antara pengguna-pengguna sedia ada dan pengguna-pengguna generasi baru.

Honda Future turut menawarkan ruangan di bawah tempat duduk yang lebih besar bagi memudahkan pengguna untuk menyimpan barangan peribadi dan topi keledar muka penuh. Selain itu, Honda Future berdemensikan muatan minyak 5.6 liter yang digabungkan dengan enjin empat lejang generasi baru 125cc OHC 4 kitaran baru akan menjanjikan penjimatan minyak sehingga 7.6% di samping kuasa pecutan yang mantap dan berkuasa pada setiap rpm. Tangki muatan minyak lebih besar ini membolehkan jarak perjalanan lebih jauh sehingga 338 km iaitu 100km lebih jauh berbanding dengan Wave 125 X Ultimo tanpa pengisian semula minyak. Selain itu, Honda Future menawarkan konsep motosikal mesra alam. Penggunaan bahan api yang lebih efisien dan dinamik adalah menjadi ramuan utama kepada teknologi baru pada model Honda Future ini. Model ini diberi sentuhan reka bentuk yang menarik dan moden untuk disesuaikan mengikut pelbagai saiz pengguna. Selaras dengan fungsi sebagai cruiser jarak jauh, Honda Future dibina dengan tempat duduk lebih lebar dan ergonomic bagi penunggangan yang lebih selesa sepanjang masa. Reka bentuk bahagian depan berkonsepkan tiada penggunaan skru bagi mengurangkan bunyi getaran dari penutup depan. Model ini sangat mementingkan keselamatan penunggangnya di mana ia menawarkan penggunaan lampu belakang LED Berpadu. Ini dapat memastikan pencahayaan yang lebih galak pada sebarang keadaan cuaca. Reka bentuk meter yang lebih canggih dan padanan lampu signal bergaya menjadi penampilan unik pada model ini.
Spesifikasi Honda Future 125cc
Harga jual cadangan bagi model Honda Future adalah sekitar RM5578 sehingga RM5998. Honda Future menawarkan 3 varian pilihan yang menarik kepada bakal pembeli iaitu:
a) Varian 1        - dilengkapi penghidup enjin elektrik, roda jejari dan brek cakera depan
b) Varian 2        - dilengkapi dengan roda sporti, penghidup enjin elektrik dan brek cakera depan
c) Varian 3        - menggabungkan penghidup enjin elektrik, roda sporti dan brek cakera depan dan belakang
Ketiga-tiga varian ini didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Jingga Merjan Metalik, Hitam Mutiara Magelanik dan Merah Euforia Metalik.


Varian 1
Varian 2
Varian 3

Zulfahmi Impikan Podium Moto3 Musim Ini


CitCat session dengan fans dan media

Penunggang Moto3 Malaysia, Zulfahmi Khairuddin berjanji akan membuat yang terbaik untuk mendapatkan tempat di atas podium dalam persaingan kejuaraan yang hanya berbaki 8 pusingan lagi, dan salah satunya ialah Malaysian Motorcycle Grand Prix di Sepang International Circuit (SIC) pertengahan Oktober tahun ini.

Zulfahmi bersama ibubapa, penaja dan penganjur
Bermula dari program GP Wildcard, satu inisiatif dari SIC, Zulfahmi berjaya menyinar dan menunjukkan potensi yang mengagumkan. Prestasi yang konsisten dalam kejohanan Moto3 bersama jentera baru KTM telah menyerlahkan bakat anak Malaysia ini. Zulfahmi merupakan individu kedua yang bertanding dalam World Championship selepas mentornya, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini pada 1996. Pada musim ini, beliau berjaya mengumpulkan 66 mata dan berada pada ranking ke-6 dalam kategori Moto3 setakat ini.

Zulfahmi dan fans Facebook yang sangat bertuah
“Podium adalah sasaran utama saya, dan saya mempunyai 8 pusingan lagi untuk mencapainya. Saya yakin satu hari nanti saya akan mengibarkan Jalur Gemilang di atas podium,” jelas Zulfahmi semasa ‘Majlis Iftar bersama Penunggang Moto3 – Zulfahmi Khairuddin’ yang berlangsung di Grand Dorsett Subang Hotel pada 24 July lalu. Turut hadir pada majlis tersebut, keluarga Zulfahmi, para penaja, dan peminat-peminat bertuah yang terpilih melalui pertandingan di Facebook. 

Thursday 26 July 2012

Bengkel Intensif Bersama Juara Motorcross Mohammed Balooshi


Kepada peminat aktiviti lasak dan lebih mencabar daya ketahanan fizikal dan mental, sukan motocross adalah antara pilihan. Di samping mengisi masa terluang, ia merupakan antara hobi yang berpotensi untuk menonjolkan bakat yang ada. Sukan ni cukup sesuai kepada lelaki maskulin dan tahan lasak. Sukan lasak ini tidak dinafikan ia sebagai sukan yang berbahaya, dan berisiko untuk mengalami kecederaan yang serius. Namun begitu, dengan adanya jurulatih berpengalaman yang boleh memberi tunjuk ajar dan kelengkapan pakaian sukan khusus, risiko kemalangan boleh dikurangkan.

Pada 7 Julai 2012, Red Bull Blue & Silver (produk Eropah) telah menganjurkan bengkel pemanduan motocross Red Bull Under My Wing in Malaysia bersama Mohammed Balooshi, juara UAE Motocross Championship. Bengkel satu hari ini bertujuan untuk mengembangkan bakat pelumba muda tempatan dalan sukan motocross melalui latihan intensif dan perkongsian pengalaman oleh pelumba profesional. Seramai 50 orang peserta motocross tempatan telah dijemput untuk menghadiri bengkel tersebut. Acara ini telah dianjurkan di DARC Dirt Track, Denai Alam Recreation and Riding Club, Denai Alam.

Projek bengkel Red Bull Di Bawah Sayap Saya bersama juara Motorcross UAE ini menawarkan peluang kepada atlet-atlet muda yang beraspirasi tinggi untuk mempelajari dan menunggang bersama idola sukan motorcross mereka. Bengkel yang pertam kali sepertinya dianjurkan di Malaysia menyediakan latihan dan bimbingan untuk melakukan loncatan gaya professional dan senaman khas untuk membina kekuatan dan ketahanan yang penting untuk persiapan mental dan fizikal demi mencapai prestasi optimum dalam sukan lasak ini.

Juara motorcross UAE berumur 31 tahun yang pernah merangkul kejuaraan berganda pada tahun 2005 dan 2006 telah terpilih sebagai penunggang motorcross terbaik UAE selepas menyertai Red Bull Super X yang berlangsung di Abu Dhabi. Bermula sebagai pelumba motorcross sepenuh masa pada tahun 2002, beliau pernah merangkul kejuaraan dalam kejohanan utama nasional sebanyak 3 kali berturut-turut pada tahun 2009 di Kuwait, Bahrain dan Egypt.
Sepanjang sehari berlangsungnya bengkel ini, Mohammed Balooshi menerangkan dan menunjuk ajar pelbagai teknik khas bagi mengendalikan motorcross dalam trek perlumbaan. Penekanan terhadap teknik yang paling diutamakan bagi pencapaian optimum semasa berlumba. Antara teknik-teknik yang telah diajar dalam sesi bengkel khas motorcross ini adalah berkenaan teknik pengendalian motorcross sewaktu selekoh, teknik melakukan loncatan dan pelbagai teknik bagi mencapai pemecutan optimum. Antara penekanan lain dalam penunggangan motorcross adalah berkenaan motorsikal sukan lasak tersebut. Terdapat dua jenis motorsikal yang digunakan iaitu motorsikal yang menggunakan enjin 2 lejang dan 4 lejang. Jenama ataupun pembuat motorsikal tidaklah begitu ketara kerana setiap pengeluar akan sentiasa bersaing untuk mengeluarkan jentera yang terbaik.

Sebelum memulakan penunggangan di trek motorcross, adalah dinasihatkan sebaik-baiknya penunggang berjalan kaki mengelilingi trek. Ia adalah penting bagi mengenalpasti keadaan trek, selekoh-selekoh tajam, kawasan berlumpur, kawasan lonjatan, kawasan permukaan licin dan paling penting, garisan penamat. Selain itu, senaman regangan badan juga perlu. Ramai penunggang mengambil mudah tentang perkara ini. Sukan lasak ini memerlukan ketahanan fizikal, dan bahagian badan yang memerlukan tumpuan ialah lengan, kaki dan belakang. Berkenaan dengan pakaian dan aksesori sukan ini, yang diperlukan bagi penunggang motorcross adalah seperti topi keledar, goggle, suit perlindungan, dan boot khas. Pemakaian yang bercirikan keselamatan adalah penting untuk mengurangkan risiko kecederaan dan bukanlah untuk kelihatan lebih style seperti Jeremy McGrath dan handalan-handalan motorcross yang lain.

Jagoan UAE pada sesi bengkel intensif tersebut lebih banyak menekankan teknik dalam perlumbaan. Beliau berkongsikan cara-cara untuk mengambil selekoh tajam dengan kawalan brek, posisi badan penunggang dan juga kawalan throttlemotorsikal. Pemecutan optimum hanya dapat dicapai dengan teknik penunggangan yang betul. Teknik loncatan dan mendarat adalah yang paling digemari peserta-peserta bengkel pada hari tersbut. Balooshi turut menunjukkan skill dan kemahirannya dalam melakukan loncatan. Sukan motorcross di Malaysia tidak kurang hebatnya. Namun, kos yang agak tinggi untuk penglibatan dalam sukan lasak tersebut terhad dan menjadikan ia berstatus dan ekslusif. Walaubagaimanapun, ia merupakan tempat yang terbaik untuk berjumpa dengan kaki-kaki motor, meredakan stress dan menguji ketahanan fizikal dan mental anda.

Categories